Tingkatkan profesionalisme industri kecantikan
Di Singapura pernah dilaporkan ada penulis blog kecantikan mengalami kerosakan kulit wajah selepas melakukan rawatan kecantikan di salun republik berkenaan. Kerosakan berkenaan juga dikatakan agak teruk sehingga memberi kesan kepada penampilannya sebagai penulis blog, khusus mengenai kecantikan.
Daripada kejadian berkenaan, kita boleh merumuskan secara ringkas mengenai perkhidmatan ditawarkan salun kecantikan, adakah ia benar-benar menepati piawaian kebersihan untuk merawat wajah pelanggan yang datang.
Sehubungan itu, kewujudan Biro Sains Pensijilan Persendirian Antarabangsa - International Personal Certification Sdn Bhd (IPEC) meningkatkan lagi mutu perkhidmatan di salun atau spa kecantikan kerana ia menyediakan kelulusan khas untuk individu yang ingin menjadi juru kecantikan.
Kredibiliti perkhidmatan
Ketua Jawatankuasa Skim Industri Sains Kecantikan, IPEC, Dr Ng Wee Kiong, berkata individu terbabit akan diperakui di bawah Skim Pensijilan Aestetik dan Juru pulih Kecantikan (BTaA).
Katanya, dengan adanya perakuan BTaA, juru pulih kecantikan atau individu yang terbabit secara langsung dalam industri kecantikan akan lebih diyakini keupayaan mereka mengendalikan perkhidmatan kecantikan.
"Juru pulih kecantikan yang ada perakuan BtaA ini mempunyai kredibiliti yang lebih baik serta merit kelayakan mereka lebih tinggi selain mendapat pengiktirafan profesional.
"Sehingga kini, 19 profesional kecantikan sudah disahkan dan 14 lagi permohonan baru dalam proses untuk diperakui," katanya pada sidang media Persidangan Antarabangsa dan Pameran Kosmetik, Kecantikan & Cosmobeaute Asia 2013.
Pensijilan tingkat taraf
Dr Ng berkata, di negara ini terdapat banyak pusat atau institusi berkaitan yang menyediakan latihan untuk pengamal kecantikan termasuk badan tertentu yang layak untuk memperakui kemahiran dimiliki.
"Kita perlu memberi panduan kepada mereka yang berminat mendalami bidang kecantikan ini supaya menjadi profesional dalam bidangnya.
"Cabaran lain ialah kita kurang kesedaran mengenai keperluan ini bagi membolehkan pemasaran dalam industri kecantikan ini meningkat maju, sebab itulah kita perlu menggiatkan amalan pensijilan seperti ini supaya pasaran semakin baik," katanya.
Skim diperkenalkan itu diiktiraf Jabatan Standard Malaysia di bawah MS ISO / IEC 17024 yang pertama kali dilancarkan pada 2012 bertujuan menyediakan persijilan kebangsaan dan pengiktirafan antarabangsa untuk terapi kecantikan serta profesional dalam bidang estetik.